Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cacar monyet: Malaysia belum bercadang tutup sempadan

MELAKA, 28 MEI: Kerajaan tidak bercadang untuk menutup pintu sempadan negara ketika ini walaupun terdapat kes jangkitan cacar monyet di beberapa negara lain selain Afrika.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan telah mengetatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara terutama bagi pengembara dari negara yang mempunyai kes penyakit cacar monyet.

Katanya, langkah itu adalah untuk memastikan penyakit itu dapat dibendung daripada memasuki Malaysia.

“Kita telah beri taklimat kepada semua petugas Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini dan akan memperkasakan kawalan daripada segenap aspek dan sekiranya simptom dikesan, langkah pengasingan awal akan dilakukan di pintu masuk negara.

“Selain itu unit makmal KKM sudah bersedia melaksana kajian bagi membendung penularan virus berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Kajian Kematian Peri-operatif (POMR) Kebangsaan Kali ke-7 yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan POMR Datuk Dr Fitjerald Henry dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman.

Selain itu, Noor Azmi berkata negara memerlukan lebih ramai pakar geriatrik dan psikiatri pada masa akan datang berikutan pertambahan warga emas dan pesakit mental.

Beliau berkata Malaysia dijangka mencapai status negara menua susulan trend penurunan bilangan kelahiran, selain impak kepada kesihatan mental akibat pandemik COVID-19 dan lain-lain masalah.

“Bagaimanapun kita tidak menghadapi kekurangan masalah kepakaran yang serius termasuk dalam bidang-bidang kesihatan lain, seperti pembedahan dan sebagainya,” katanya.

Katanya kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menyediakan kepakaran dalam pelbagai bidang, seiring peredaran masa bagi memastikan perkhidmatan terbaik dalam kesihatan dapat diberikan kepada rakyat.

– BERNAMA


Pengarang :