Calon Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berucap ketika program Rapat Mega KEADILAN Cabang Gombak di Pusat Khidmat Penyelaras Parlimen Gombak pada 16 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon KEADILAN harus kempen secara sihat, elak ketegangan

GOMBAK, 17 MEI: Calon naib presiden berharap semua pemimpin yang bertanding berkempen secara sihat supaya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menjadi contoh kepada semua pihak.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya mengakui wujud sedikit ketegangan dalam proses pemilihan tetapi masalah itu dapat dikendurkan.

Beliau dipercayai merujuk beberapa laporan media yang menyebut berlaku masalah di beberapa lokasi pengundian di beberapa negeri.

“Ini penting dalam memastikan KEADILAN menjadi contoh yang boleh membawa kepada perubahan parti dan juga politik negara,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Gombak malam tadi.

Program di Pusat Khidmat Penyelaras Parlimen Gombak yang disekalikan dengan rumah terbuka Aidilfitri KEADILAN Gombak turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang Dato’ Menteri Besar juga bertanding jawatan sama bagi mengisi empat slot yang ditetapkan. Selain mereka, 16 lagi pemimpin parti bersaing kerusi sama.

Shamsul Iskandar turut menggesa supaya ahli parti cabang berkenaan supaya terus memberi sokongan penuh kepada Amirudin yang juga bertanding sebagai ketua cabang.

“Banyak yang telah dilakukan untuk cabang ini dan ahli parti harus memberi sokongan kepada beliau (Amirudin). Berpautlah pada dahan kukuh,” katanya.


Pengarang :