Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang bertanding Pemilihan KEADILAN 2022 dalam saingan tiga penjuru sedia berdebat dalam isu parti. Foto Facebook Dr Sathia Prakash Nadarajan
AGENDANASIONAL

Calon ketua cabang Hulu Selangor sedia berdebat soal majukan parti

SHAH ALAM, 14 MEI: Calon ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hulu Selangor sedia berdebat soal pendekatan bagi memajukan parti dan membangunkan daerah tersebut.

Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata setiap pemimpin yang bertanding Pemilihan KEADILAN perlu tampil dengan idea masing-masing supaya ahli parti, bahkan rakyat mengetahui perancangan mereka.

“Rakyat kena tahu apa yang telah kita buat, apa yang kita akan buat dan apa yang kita boleh buat. Kita bagi peluang kepada rakyat dan ahli parti buat pilihan.

“Apa yang akan saya ditekankan dalam debat itu nanti adalah mengenai parti dan keadaan Hulu Selangor secara keseluruhan,” katanya kepada Selangorkini.

Mengakui ada menerima cabaran sedemikian, pengasas rangkaian klinik Kumpulan SP Care itu menegaskan acara debat perlu dijalankan secara adil tanpa unsur negatif.

“Saya memang bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa sahaja tetapi debat itu perlulah diadakan dengan cara yang baik, perlu sihat dari apa-apa unsur negatif,” katanya.

Dr Sathia yang menjadi ahli parti sejak 2008 berdepan saingan tiga penjuru melibatkan penyandang tiga penggal yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui dan seorang lagi, Azizan Zakaria.


Pengarang :