Dana Fan Yew Teng diwujudkan bagi memperingati semangat kebebasan mendiang yang juga seorang penulis, pembela hak asasi manuisa, guru, pemimpin kesatuan dan ahli parlimen. Foto ihsan Pusaka
AGENDANASIONAL

Dana Fan Yew Teng tawar RM5,000 bantu penulis siapkan karya

SHAH ALAM, 13 MEI: Golongan penulis dipelawa memohon Dana Fan Yew Teng untuk menghasilkan penulisan bebas sama ada berbentuk cereka mahupun bukan.

Pauline Fan, pengarah kreatif Pusaka yang juga anak Yew Teng, berkata hanya seorang menerima bantuan kewangan RM5,000 setiap tahun melalui permohonan terbuka.

“Dana ini ingin menggalakkan penulis untuk menghasilkan karya sastera (cereka dan bukan-cereka) yang meraikan semangat kebebasan berfikir dan bersuara serta daya cipta,” katanya dalam kenyataan.

Permohonan untuk rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas boleh dikirim dalam bahasa Melayu atau Inggeris sebelum 31 Julai ke e-mel [email protected].

Dana itu bagi memperingati semangat kebebasan mendiang Fan Yew Teng, seorang penulis, pembela hak asasi manuisa, guru, pemimpin kesatuan dan ahli parlimen.

Beliau percaya tulisan mampu memberi suara kepada kemanusiaan, bersikap tegas kepada kuasa dan berbicara tentang pengalaman manusiawi.

Berikut syarat-syarat penyertaan:

1. Syarat-Syarat

● Warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas
● Pernah menerbitkan karya bukan-cereka atau cereka (penulis yang sekadar pernah menerbitkan sendiri karyanya adalah tidak layak)

2. Cadangan Penulisan:

● Cadangan penulisan atau karya yang sedang disiapkan ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris
● Karya penulisan yang dicadangkan ialah karya persendirian—bukan dikerjakan bawah mana-mana institusi, syarikat atau pertubuhan
● Karya penulisan yang dicadangkan mestilah bersifat cereka atau bukan-cereka yang bukan-akademik. Karya tersebut boleh ditulis dalam bentuk esei, kewartawanan, bab-bab buku, memoir, cerpen, novela, atau novel. (Contoh: Sebuah novel yang meneroka kepayahan yang dihadapi oleh watak di tengah-tengah pergolakan sosio-politik; Satu siri esei bukan-cereka tentang tokoh-tokoh sejarah yang penting, tetapi tidak sering didendangkan)
● Topik karya yang dicadangkan menyentuh semangat kebebasan, keadaan manusia dan kebebasan berfikir dan bersuara, baik secara langsung ataupun tidak
● Jumlah patah perkataan sekurang-kurangnya 10,000 patah perkataan
● Karya yang dicadangkan tidak semestinya perlu memiliki kontrak penerbitan terlebih dahulu, namun penulis digalakkan untuk mengenal pasti penerbit yang bersesuaian
● Keutamaan diberikan kepada karya yang sedang diusahakan dan belum memiliki bantuan kewangan

3. Lampirkan bersama:

● Sepucuk surat/e-mel pengenalan
● Kertas cadangan atau pernyataan yang menerangkan karya yang ingin dicadangkan atau karya yang sedang disiapkan, termasuk perancangan penerbitan dan perincian tentang rancangan penulis dalam menggunakan dana yang dimohon. Sila nyatakan bersama sumber-sumber dana lain (jika ada)
● Contoh tulisan bagi karya yang dicadangkan (sekurang-kurangnya 500 patah perkataan)
● Contoh-contoh tulisan sendiri yang pernah diterbitkan
● Biodata, profil atau CV

4. Terma dan syarat:

● Penerima dana ini mestilah menyatakan bantuan dana The Fan Yew Teng Grant for Independent Writing atau Dana Fan Yew Teng untuk Penulisan Bebas dalam karya yang akan diterbitkan nanti
● Penerima dana akan menerima pendahuluan sebanyak 50 peratus manakala baki akan disalurkan selepas karya siap ditulis—tidak semestinya ketika sudah diterbitkan
● Proses pemilihan akan bermula pada Ogos-Oktober 2022
● Permohonan yang berjaya akan diumumkan pada November 2022
● Segala keputusan jawatankuasa pemilih adalah muktamad


Pengarang :