Aliran trafik sesak namun masih terkawal ketika tinjauan fotoBernama sempena cuti umum tahun baru 2021 di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dekat Ampang pada 1 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

DBKL kaji sistem lampu isyarat, parkir atasi trafik sesak

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat kajian terperinci mengenai kaedah dan pendekatan mengurangkan situasi kesesakan lalu lintas di ibu kota yang semakin kritikal.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata antara aspek yang diberi perhatian termasuk penyelarasan sistem lampu isyarat dan sistem pengurusan parkir yang menghalang lalu lintas.

“Sistem lampu isyarat di pusat bandar kini diuruskan oleh dua syarikat berbeza, dua syarikat ini mesti mempunyai komunikasi yang baik untuk selaras (syncronize) dalam memastikan trafik sama ada masuk atau keluar bandar tidak tersekat di mana-mana laluan.

“Kalau ada keperluan mendesak, ada kemungkinan untuk tidak lagi gunakan dua sistem berbeza,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di sini hari ini.

Jalaluddin berkata hasil laporan kajian tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya lalu lintas di ibu kota dipantau dan diuruskan unit Kuala Lumpur Comand and Control Centre (KLCCC) DBKL yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS).

Menurutnya antara aspek lain yang akan diperhalusi termasuk kemasukan kenderaan berat ke pusat bandar, situasi peniaga yang membuka perniagaan di tempat tidak dibenarkan serta sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya.

“Saya tidak memberi jaminan kesesakan lalu lintas akan selesai 100 peratus, namun ini untuk mengurangkan daripada masalah ini bertambah teruk dan berlarutan,” katanya.

Pada Jumaat, portal berita Malaysiakini melaporkan kesesakan lalu lintas di ibu kota kini lebih teruk berbanding sebelum pandemik antaranya disebabkan pekerja sudah kembali ke pejabat dan persekolahan juga dijalankan secara bersemuka.

– BERNAMA


Pengarang :