Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri bercakap kepada media ketika majlis Silaturrahim Usahawan sempena Aidilfitri Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah, Ampang pada 30 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DPIM rangka program mudahkan usahawan dapat sijil halal

AMPANG, 30 MEI: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor dalam proses merangka program memudahkan usahawan memperoleh sijil halal.

Pengerusinya Mohd Yahya Mat Sahri berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat rungutan daripada orang ramai khususunya peniaga.

“Kita akan fokus kepada perundingan dan latihan yang berkaitan bagaimana cara mendapat sijil halal lebih tersusun.

“Kita akan menjadi pemudah bicara bersama Halal International Selangor (HIS) dan juga kerjasama EXCO hal ehwal agama Islam serta Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silatulrahim Usahawan Di Aidilfitri anjuran DPIM Selangor di Ampang Indah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata program itu akan dilaksanakan antara tahun ini hingga tahun hadapan.

“Tempoh terdekat kita akan kenal pasti usahawan dan peniaga di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Fokus kita memastikan setiap gerai di Selangor khususnya di bawah PBT mendapat sijil halal,” katanya.

Jelas beliau pihaknya akan memaklumkan kaedah penyertaan selepas perbincangan lanjut dengan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan PBT.


Pengarang :