Seorang bekas pesakit penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) Nurazila Azren Jalani, 26, menunjukkan parut ditangannya akibat dijangkiti oleh penyakit itu dirumahnya. Selain daripada kanak-kanak, penyakit ini juga boleh dijangkiti oleh orang dewasa. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua kes HFMD di ICU seluruh negara, Selangor antara negeri catat angka tertinggi

SHAH ALAM, 26 MEI: Sejumlah 57,510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan sejak 1 Januari hingga 25 Mei lalu, kata Menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 99 peratus kes membabitkan kanak-kanak manakala selebihnya adalah golongan dewasa.

“Sebanyak 52,846 kes atau 92 peratus membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, sementara tujuh peratus atau 3,741 kes lagi kanak-kanak berusia berumur antara tujuh hingga 12 tahun,” katanya pada sidang media secara maya dari Switzerland hari ini.

Menurut Khairy, lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor 16,286 kes; Kuala Lumpur dan Putrajaya (7,298); Perak (5,045); Kelantan (4,194) dan Sabah 3,829 kes.

“Peningkatan jumlah kes ini adalah sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun lalu semasa pandemik iaitu 2,333 kes.

“Namun saya minta buat perbandingan pada 2019 iaitu sebelum pandemik kerana pergerakan hampir sama dan peningkatan dicatat sebanyak 27,664 kes iaitu hampir sekali ganda,” katanya.

Tambah Khairy, setakat semalam, hanya dua kanak-kanak yang disahkan HFMD mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Buat masa ini, kanak-kanak pertama telah beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi, namun masih dipantau sementara kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Penilaian penyakit HFMD kini dilakukan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) antaranya pemeriksaan dan penutupan premis, persampelan klinikal, pendidikan kesihatan dan sesi townhall,” katanya.


Pengarang :