Dua pembantu kesihatan direman lima hari sehingga 31 Mei bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah berjumlah RM15,000. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua pembantu kesihatan direman lima hari bantu siasatan kes rasuah pengurusan jenazah

SHAH ALAM, 27 MEI: Dua pembantu kesihatan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM15,000 berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan kedua-dua individu itu sehingga 31 Mei.

Kedua-dua lelaki yang berusia 40 hingga 42 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan menerima rasuah.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki itu ditahan pada 4.45 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

– BERNAMA


Pengarang :