Ng Sze Han ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kinrara anjur festival kesenian esok, pelawa orang ramai hadir

SHAH ALAM, 7 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menganjurkan Puchong Community Art Festival 2022 esok di Taman Rekreasi Wawasan Puchong, Puchong dekat sini.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han turut mempelawa penduduk sekitar Puchong khasnya dan Selangor untuk hadir bersama memeriahkan acara bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya, program itu turut mendapat kerjasama Persatuan Dua Space Dance Theatre, PCP Publications serta Persatuan Pelancongan Budaya dan Kreatif.

“Festival ini dianjurkan bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk berhibur dan berseronok bersama keluarga selepas lebih dua tahun kita disekat kerana pandemik Covid-19.

“Justeru, saya menyeru anda semua hadir esok untuk menyaksikan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik termasuk pertandingan fotografi,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata antara aktiviti diadakan adalah persembahan kesenian, pameran dan pertandingan fotografi, pertandingan mewarna khusus untuk kanak-kanak serta galeri dan sejarah Puchong.

Tambahnya, pengunjung juga turut dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang unik serta menyelerakan dari bazar disediakan antaranya ‘Taste of Malaysia’, ‘Baik Selangor’ dan kendera saji.

“Turut terdapat gerai jualan barangan cenderamata untuk dibeli atau dihadiahkan kepada insan tersayang. Jom ramai-ramai memeriahkan festival kesenian esok,” katanya.


Pengarang :