Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar mengedarkan ayam segar kepada keluarga kurang berkemampuan di kawasannya pada 25 April 2022. Foto Facebook Mazwan Johar
ADNSELANGOR

DUN Sungai Ramal edar 500 ayam segar kepada keluarga B40

SHAH ALAM, 11 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal mengedarkan 500 ekor ayam segar kepada keluarga kurang berkemampuan (B40) sempena sambutan Aidilfitri.

Wakil rakyat Mazwan Johar berkata turut diedarkan 500 pek makanan keperluan asas sebagai persiapan mereka.

“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima di samping menceriakan sambutan hari raya.

“Insya-Allah bantuan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa meskipun bukan ketika sambutan perayaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sumbangan berkenaan diedarkan sendiri oleh Mazwan kepada penerima di Pangsapuri Intana Ria, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi; Pangsapuri Anggerik, Taman Putra Kajang dan Flat Kajang Mewah.

Sementara itu, Mazwan turut mengalu-alukan syarikat atau badan bukan kerajaan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu individu yang dalam kesusahan.

“Kita sentiasa menerima apa sahaja bentuk bantuan untuk diedarkan kepada keluarga yang susah di sekitar DUN Sungai Ramal. Mereka yang berminat boleh hubungi pusat khidmat masyarakat menerusi talian 03-8928 9738,” katanya.


Pengarang :