Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor Zainor Rashid Hassin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Enakmen jenayah syariah dipinda, pesalah berdepan hukuman lebih berat

SHAH ALAM, 31 MEI: Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor dalam proses meminda enakmen jenayah syariah bagi membolehkan penguatkuasaan dan hukuman terhadap pesalah lebih berat.

Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin berkata enakmen jenayah itu perlu disemak semula kerana ia masih mengikut undang-undang lama iaitu pada 1995.

“Semakan sudah dibuat dan dibawa kepada Sektor Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada hujung tahun lalu. Kita jangka akan ada perbincangan lagi dalam masa terdekat.

“Dengan adanya pindaan ini, hukuman dikenakan terhadap jenayah syariah lebih ketat (berat). Jika dahulu hukuman rendah tetapi terbaharu mungkin akan dikaitkan dengan kesalahan pertama dan kedua,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainor Rashid menjelaskan masyarakat kini berani melanggar undang-undang sehingga sanggup membuat iklan yang memesongkan akidah.

“Antara kesalahan jenayah syariah dilakukan ialah doktrin dan dakwaan palsu serta melanggar fatwa.

“Kita juga mencadangkan pindaan melibatkan enakmen keluarga seperti pernikahan tanpa kebenaran wali, perceraian luar mahkamah dan poligami tanpa kebenaran,” katanya.


Pengarang :