Orang ramai membeli barang keperluan harian ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Enam barang keperluan asas habis dijual di tujuh lokasi jualan murah

SHAH ALAM, 1 MEI: Bekalan enam produk utama di tujuh lokasi Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) habis dijual.

Menurut ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS, ia membabitkan 10,000 ekor ayam, tujuh tan daging, tiga tan tulang lembu, 450,000 biji telur ayam, 3,000 kilogram (kg) minyak masak dan 500 kg ikan selayang dan kembung (QFish).

“Ini membuktikan usaha kita membantu rakyat adalah tepat dan kena pada masanya. Mereka menggunakan peluang ini dan memanfaatkannya.

“Banyak lagi bantuan perlu dihulur kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Harap usaha PKPS untuk meneruskan jualan murah menerusi pasar bergerak selepas Aidilfitri ini membantu mereka,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi kepada Selangorkini semalam.

Kerajaan Selangor melaksanakan jualan besar-besaran sempena Aidilfitri di beberapa lokasi seluruh negeri mulai 25 April hingga 2 Mei ini.

Semalam, program sama diteruskan di Kampung Pandan, Pandan Jaya, Padang Awam Batu Caves, Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.


Pengarang :