Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kanan) bersama penghantar makan p-panggilan ketika majlis serah RiDE DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat, Jalan Kebun, Shah Alam pada 16 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: 3,800 penunggang p-panggilan bakal terima manfaat RiDE

SHAH ALAM, 13 MEI: Seramai 3,800 penunggang p-panggilan di Selangor bakal menerima manfaat program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) selewat-lewatnya Julai depan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata golongan terbabit ditawar subsidi lesen motosikal, kursus dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Selain memberi sumbangan, kita mahu pastikan mereka mempunyai insurans sama ada Perkeso atau yang berkaitan kerana kita bimbang keselamatan mereka di jalan raya.

“Buat masa ini, mereka yang menghantar makanan ini sebenarnya tidak didedahkan dengan undang-undang khusus, umpama peniaga yang meniaga di tepi jalan dan tiada jaminan (keselamatan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Selangor Mega Job Fair dan selangorjobportal.com.my yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam di sini semalam.

Pada 17 Mac lalu, wakil rakyat Paya Jaras itu berkata penunggang p-panggilan di Selangor akan menyertai siri latihan keselamatan bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya.

Menurutnya, ia sebahagian manfaat yang ditawar melalui RiDE selepas menyedari kepentingan memelihara keselamatan kumpulan pekerja terbabit yang turut bersama menjana ekonomi negeri.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.


Pengarang :