EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berucap merasmikan Program Penempatan Pekerjaan 2022 di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak pada 22 Mei 2022. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

EXCO: Jelajah JobCare negeri bantu lebih 500 peserta dapat kerja

KUALA LUMPUR, 23 MEI : Lebih 500 peserta berjaya mendapat tawaran pekerjaan menerusi temu duga Jelajah JobCare anjuran Kerajaan Negeri sejak dilancarkan Februari lalu.

EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata program dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu kini memasuki siri kelima penganjuran.

“Program ini hanya berskala kecil tetapi kita usaha untuk bantu seramai boleh masyarakat untuk mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Tahniah kepada yang berjaya diterima bekerja dan saya menggesa mana-mana pencari kerja mengambil peluang ini kerana kita akan jelajah ke empat daerah lagi mulai bulan depan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan 2022 di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak di sini.

Jelajah JobCare yang diadakan di sembilan daerah bermula 26 Februari sehingga 25 Jun itu disertai 15 syarikat tempatan dari pelbagai sektor dengan menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

Dewan Serbaguna Air Panas, Setapak (22 dan 23 Mei)
Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
Kuala Langat – Dewan Banting Baru (18 Jun)
Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)

 


Pengarang :