Selangorkini
EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim bercakap kepada media mengenai kekurangan bekalan ayam di pasaran selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian Selangor Dan Selangor Agro Green 2022 di Pejabat Pertanian Daerah Gombak pada 24 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Jualan ayam murah diteruskan mulai 1 Jun, atasi isu kurang bekalan

GOMBAK, 24 MEI:  Program jualan ayam murah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak Disember lepas hingga menjelang Syawal diteruskan mulai 1 Jun, sebagai penyelesaian jangka pendek kekurangan bekalan.

EXCO pemodenan dan asas tani berkata program itu diadakan sehingga perayaan Aidiladha dengan harga jualan lebih rendah berbanding harga pasaran dan diharap membantu pengguna mendepani isu tersebut.

“Kita akan pastikan jumlah ayam ini ditingkatkan dari 4,000 ekor sehari kepada 10,000 ekor sehari bagi menampung kekurangan bekalan ayam.

“Kerajaan Selangor faham situasi ini dan kita prihatin. Jadi ada harga jualannya nanti adalah lebih rendah daripada pasaran,” katanya Ir Izham Hashim pada sidang media di Pejabat Pertanian Daerah Gombak.

Beliau berkata insiatif itu melibatkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan beberapa agensi lain lagi.

“Sebanyak 67 outlet akan menjual bekalan ayam. Selangor mengalami kekurangan bekalan sehingga 50 peratus di mana permintaan ayam adalah 174 juta ekor setahun berbanding jumlah ayam dihasilkan sekitar 84 juta ekor,” katanya.

Beliau memaklumkan permintaan bekalan ayam yang tinggi kerana jumlah penduduk di negeri ini adalah 6.7 juta.

“Satu musim iaitu dua bulan pengeluaran ayam di Selangor ialah 14 juta ekor ayam dan setahun 84 juta ekor. Berdasarkan kiraan berkapita setiap  ndividu memerlukan 46.8 kilogram (kg) setahun atau 3.9 kg sebulan.

“Ini bermakna dua ekor ayam untuk seorang sebulan, jadi bermakna Selangor memerlukan 174 juta ekor ayam setahun. Kita kurang 50 peratus dan bukan semua ayam di Selangor dijual di negeri ini, ada jual di luar Selangor serta di syarikat makanan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Program Intervensi Ehsan berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga sejak dilaksana Disember tahun lalu di lebih 50 lokasi negeri ini.

Inisiatif berkonsepkan Jualan Prihatin Rakyat memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan bekalan makanan segar seperti ayam, ikan, daging, telur dan sayur-sayuran secukupnya.


Pengarang :