EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) membantu menjual ayam ketika Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Mesyuarat khas bincang isu bekalan ayam di Selangor diadakan esok

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri sudah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menghubungi pembekal dan penternak ayam di Selangor bagi memeriksa keadaan bekalan, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim memaklumkan kekurangan bekalan ayam di pasaran mungkin akibat kenaikan harga makanan ayam yang agak tinggi.

“Ada banyak faktor berlaku serentak iaitu kenaikan harga makanan ayam, musim perayaan dan juga isu penyakit.

“Namun, setakat ini saya tidak mendapat sebarang laporan lagi tentang penyakit ayam. Oleh itu, satu mesyuarat khas akan diadakan esok bersama pelbagai agensi dan jabatan berhubung isu bekalan ayam,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Tambah Izham, berdasarkan tinjauan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) masalah kekurangan bekalan ayam dikesan di beberapa lokasi sahaja.

“Tinjauan mendapati kekurangan bekalan ayam tidak serius sehingga terputus sepenuhnya dan hanya berlaku di sesetengah tempat sahaja.

“Namun, kita tetap mengadakan mesyuarat khas untuk meneliti sepenuhnya isu ini supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.


Pengarang :