AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: Selangor anjur sambutan Hari Wesak pada 14, 15 Mei

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor bakal menganjurkan sambutan Hari Wesak peringkat negeri selama dua hari pada 14 dan 15 Mei ini di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jalan Sungai Buaya Jenjarom, Kuala Langat.

EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya menganggarkan 5,000 penganut agama Buddha dan pengunjung hadir memeriahkan acara tersebut.

Menurut beliau, perayaan Hari Wesak di Selangor disambut sejak tahun 2011 tetapi terhenti selama dua tahun iaitu pada 2020 dan 2021 kerana pandemik Covid-19.

“Justeru, kita yakin perayaan ini akan menjadi lebih bermakna dan meriah pada tahun ini kerana ia merupakan ulang tahun ke-60 Hari Wesak diisytihar sebagai hari cuti umum di Malaysia.

“Malah, pelbagai pengisian menarik juga akan dipenuhi selama dua hari program berlangsung antaranya adalah penganut dapat melaksanakan upacara Mandi Buddha secara fizikal,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Selain itu, Chang Khim berkata program lain yang turut diadakan adalah bazar kebudayaan makanan vegetarian, forum menghayati seni Gandhara, konsert Hari Wesak, majlis doa untuk kebaikan bayi, pertandingan masakan vegetarian, pertandingan nyanyian lagu Buddha dan pertandingan bercerita kanak-kanak.

Tambahnya, program itu mendapat kerjasama Fo Guang Shan Dong Zen dan Buddha’s Light International Association Malaysia (BLIA) serta disokong sepenuhnya oleh Malaysia Buddhist Consultative Council (MBCC).

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan merasmikan majlis pada Sabtu jam 10 pagi. Turut hadir pemimpin daripada pertubuhan agama Buddha termasuk Duta China, Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dan Sri Lanka ke Malaysia serta Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Selangor.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke perayaan ini dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), lengkap dua dos vaksin, membuat ujian kendiri sebelum hadir serta digalakkan memakai pelitup muka sepanjang berada di sekitar kawasan tokong,” katanya.


Pengarang :