Orang ramai membeli barang keperluan asas di Karnival Jualan Mega Rakyat di Dataran Puchong Permai, Subang Jaya pada 1 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Fama Selangor sasar perolehan RM1.8 juta jualan murah barangan asas

SUBANG JAYA, 1 MEI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor menyasarkan perolehan RM1.8 juta menerusi program Karnival Jualan Mega Rakyat yang beroperasi di 17 lokasi seluruh negeri bermula 29 April hingga esok.

Pengarahnya Aiada Abdul Rashid berkata unjuran itu berdasarkan jualan lima barangan utama yang mendapat permintaan ramai menjelang Syawal iaitu ayam segar, daging pejal, tulang lembu, telur ayam gred B dan minyak paket.

“Kebanyakan penduduk mengambil peluang dengan promosi dan produk yang dibawa ke lokasi jualan. Mereka mencari barang keperluan untuk menyambut Aidilfitri seperti sayur, ikan dan ayam pada harga lebih murah.

“Malah ada pengunjung yang buat tempahan walaupun bekalan sudah habis pada hari berkenaan dan peniaga pula sanggup datang (lokasi) untuk menjual semula produk berkaitan,” katanya kepada Selangorkini.

Kerajaan Selangor memperuntukkan dana RM1.1 juta bagi penganjuran program Karnival Jualan Mega Rakyat di 29 lokasi bermula sejak 25 April hingga 2 Mei sempena Aidilfitri.

Program diterajui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dan Fama.

Ia menawarkan 23,200 ekor ayam; 23,200 kilogram (kg) daging pejal segar; 16,700kg tulang lembu; 18,200 papan telur ayam gred b; 25,200 tan minyak masak paket dan 1,500kg ikan q-fish (sejuk beku).


Pengarang :