Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Gagal laksana mesyuarat tahunan, JMB Kondominium Koi Tropika didenda RM14,000

SUBANG JAYA, 25 MEI: Seramai lapan orang termasuk pengerusi dan ahli jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Koi Tropika Puchong di sini didakwa di mahkamah pada 20 Mei lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata mereka didakwa di Mahkamah Majistret (Munisipal) Subang Jaya kerana gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-10 pada 2019.

“Justeru, semua orang kena saman (OKS) mengaku bersalah dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 seorang terhadap tujuh daripada lapan OKS.

“Difahamkan, seorang lagi OKS didapati meninggal dunia dan sekali gus saman terhadapnya dibatalkan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Bil 5/2022 di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini.

Menurutnya, mereka dituduh mengikut Peraturan 34 (2) Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Johary berkata susulan kes tersebut MBSJ menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang berjaya mendapatkan sabitan terhadap JMB berikutan kegagalan mengadakan AGM.

Beliau turut menyeru semua JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang masih belum mengadakan AGM diminta melaksanakan kewajipan tersebut bagi mengelak tindakan mahkamah.

“AGM amat penting diadakan memandangkan ia merupakan medium utama kepada semua pemilik pembangunan berstrata untuk berbincang dan membuat ketetapan.

“Ia juga bagi memastikan aspek pengurusan dan penyenggaraan bangunan strata dapat dilaksana dengan teratur dan berkesan di samping dapat menyelesaikan isu berbangkit,” katanya.


Pengarang :