Pengusaha busana Melayu, Mohd Saiful Azman, 41, menyusun tanjak di Galeri Empayar Rumbawe, Bandar Baru Bangi pada 28 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Gaya karangan tanjak dalam Aidilfitri

Kebelakangan ini, busana Melayu klasik kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat tempatan untuk digayakan semasa musim perayaan. Paling mendapat sambutan tentunya karangan tanjak. Selain itu, pemakaian bengkung yang dililit di pinggang bagi mengikat samping juga mendapat perhatian.

Sempena sambutan Aidilfitri kali ini, wartawan Nazli Ibrahim menyelami susah payah penggiat busana Melayu klasik Mohd Saiful Azman membangunkan perniagaan Galeri Empayar Rumbawe di Bandar Baru Bangi pada 28 Mac.

MINATNYA terhadap busana Melayu sangat mendalam. Kecenderungan Mohd Saiful Azman mula tercetus apabila baju kurung dengan elemen dokoh yang dijahitnya menampakkan ciri klasik mendapat perhatian pelanggan termasuk orang kenamaan.

Sedikit demi sedikit, beliau beralih kepada perniagaan busana Melayu klasik termasuk tanjak. Walau sedar baju kurung dan baju Melayu lebih mudah dijual tetapi beliau tekad menutup butik di Kuala Lumpur pada 2019 bagi memberi tumpuan penuh kepada busana Melayu klasik.

Busana Melayu dahulu kala yang dijual terdiri daripada busana rakyat, busana bangsawan dan busana raja. Tanjak pula terdiri daripada pelbagai jenis antaranya Balong Raja, Anderiguru Selebu, Solok Timbo dan Mahkota Alam.

Berguru karang tanjak

Mohd Saiful, 41, terlibat serius dalam perniagaan busana Melayu termasuk baju hias dan baju layang hingga ke tanjak pada 2019. Sebelum ini, beliau menjalankan perniagaan butik baju kurung dan baju Melayu di bangunan Mara, Kuala Lumpur sejak 2014.

Istimewanya, baju kurung yang dijual ketika itu mempunyai dokoh yang dijahit bagi menampilkan ciri busana Melayu klasik. Berikutan kelainan yang tersebut, baju kurung itu menarik perhatian ramai pelanggan

Sambutan memberangsangkan mendorong Mohd Saiful untuk mendalami seni busana Melayu klasik berbanding baju kurung dan baju Melayu moden yang banyak di pasaran. Bagi meluaskan pengetahuan dan mendalami tradisi busana orang Melayu, beliau banyak mendapatkan bahan bacaan berkaitan untuk membuat kajian.

Apabila pemakaian tanjak semakin mendapat tempat dalam masyarakat, Mohd Saiful berguru dengan Ketua Panglima Istana Iskandariah Perak, Panglima Mohamad Dzulkarnain selama tiga bulan bagi mempelajari teknik betul membuat tanjak. Beliau turut belajar membuat tanjak dengan beberapa pengarang tanjak lain.

Pengusaha busana Melayu, Mohd Saiful Azman, 41, menunjukkan jenis tanjak selepas sesi temu bual bersama SelangorKini di Galeri Empayar Rumbawe, Bandar Baru Bangi pada 28 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Yakin dengan pasaran luas yang belum diterokai, beliau pada 2019 beralih sepenuhnya kepada perniagaan busana klasik, lengkap dari kepala sampai ke hujung kaki termasuk capal yang dibekal seorang pengusaha capal buatan tangan.

Bekerjasama dengan dua lagi rakan Haris Zahari dan Zulkhairu Mohammad, mereka membuka galeri busana Melayu yang dinamakan Galeri Empayar Rumbawe di Bandar Baru Bangi.

“Butik di Bangunan Mara ditutup dan saya fokus sepenuhnya kepada busana Melayu. Kami pilih Bangi sebab Bangi dianggap seperti syurga tekstil, tempat tumpuan orang ramai mencari pelbagai baju tradisional.

“Saya tumpu kepada busana Melayu klasik dan dua lagi rakan fokus kepada pelbagai peralatan lama Melayu seperti keris, tombak dan lain-lain peralatan tamadun Melayu yang semakin susah ditemui,” katanya.

Tempahan raya

Ketibaan Hari Raya Aidilfitri kali ini membuatkan Mohd Saiful tidak menang tangan. Sama seperti baju Melayu, permintaan tanjak dan busana Melayu klasik sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut meningkat apabila menjelang perayaan itu. Tidak mahu kalut pada saat akhir, beliau sebelum tiba Ramadan lagi mula menyiapkan lebih 500 tapak tanjak.

Ketika sambutan Aidilfitri 2019, jualan mencecah 500 tanjak. Namun, jualan pada 2020 dan 2021 tidak seberapa berikutan perayaan itu disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengusaha busana Melayu, Mohd Saiful Azman, 41, ketika ditemu bual SelangorKini di Galeri Empayar Rumbawe, Bandar Baru Bangi pada 28 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kali ini, permintaan tanjak tampak memberangsangkan. Karangan paling mendapat tempat di hati pelanggan ialah Balong Raja dan Anderiguru Selebu. Pelbagai tanjak lain turut dijual antaranya Solok Timbo, Mahkota Alam. Mohd Saiful juga membuat tanjak eksklusif mengikut karangan berdasarkan pemintaan pelanggan yang mahukan kelainan.

“Harga tanjak antara RM70 hingga RM150 bergantung kepada jenis kain dan karangan.

“Ada juga karangan rekaan saya sendiri berharga RM350 sebab harga songket yang digunakan berkualiti tinggi.

“Bagi pelanggan yang bawa kain sendiri saya ambil upah RM50 hingga RM100 bergantung kepada karangan bagaimana pelanggan mahu,” katanya.

Teknik pemakaian

Walau tanjak dan busana Melayu klasik kian mendapat tempat, sebahagian besar masyarakat Melayu moden masih kekok dan malu-malu untuk mengenakan busana Melayu klasik.

Namun, pada hari biasa, beliau berupaya menjual kira-kira 50 tanjak dan busana Melayu klasik lengkap. Permintaan meningkat sekitar 200 tempahan menjelang cuti persekolahan berikutan tibanya musim kenduri kahwin. Menjelang musim Hari Raya Aidilfitri, jualan mencecah kira-kira 500 tempahan.

Pengusaha busana Melayu, Mohd Saiful Azman, 41, menunjukkan busana wanita ketika ditemu bual SelangorKini di Galeri Empayar Rumbawe, Bandar Baru Bangi pada 28 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain tempahan persendirian, terdapat juga syarikat korporat membuat tempahan untuk majlis makan malam tahunan bertema busana Melayu klasik.

“Kami bukan setakat jual sahaja tetapi memberi khidmat nasihat tentang cara pemakaian yang betul.

“Misalnya kalau majlis makan malam syarikat, atau majlis perkahwinan, kami beri panduan siapa yang pakai busana raja, siapa pakai busana bangsawan dan tanjak sesuai mengikut kedudukan. Kami juga mendidik cara pemakaian yang betul,” katanya.

Tanjak terkenal di Selangor antaranya Balong Raja yang dipakai Sultan Selangor sejak dahulu selain Mahkota Alam dan Anderiguru Selebu. Selain karangan tanjak terkenal, ada juga tanjak mempunyai lipatan tersendiri yang dibuat mengikut kehendak si pemakai.

Tiga sifat asas yang perlu ada pada sesebuah tanjak ialah tapak, simpul dan solek. Antara sifat yang membezakan sesebuah tanjak dengan yang lain ialah jumlah takuk, lipatan, ketinggian, jenis lambaian dan
simpul.

Bilangan takuk pada tapak tanjak melambangkan status seseorang, iaitu satu tingkat bagi rakyat biasa, tiga tingkat bagi pembesar istana dan lima tingkat ke atas bagi Raja ataupun Sultan.

Selain tanjak, galeri itu juga memiliki barangan barangan lama yang dikategori sebagai antik dan barangan klasik yang dibuat semula. Antaranya keris, lembing, sundang, gong, perisai, tongkat dan tentuang diperolehi melalui pelbagai sumber termasuk membeli dari pengumpul luar negara seperti Indonesia dan England.


Pengarang :