Skuad golf berpasukan lelaki negara. Foto Twitter Nova88 Malaysia
AGENDASUKANKINI

Golf berpasukan lelaki rangkul emas, skuad wanita raih perak di Hanoi

 

VINH PHUC, 18 MEI: Malaysia akhirnya meraih emas acara berpasukan golf lelaki Sukan SEA selepas dua dekad, menewaskan Thailand 2-1 dalam final hari ini.

Pasukan negara terdiri daripada Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K Rhaasrikanesh dan A Nateeshvar (pemain simpanan) menampilkan persembahan mantap di Heron Lake Golf Course & Resort di sini, untuk mengetepikan juara bertahan itu, sekali gus menyumbang emas ke-24 pada temasya dwitahunan berkenaan yang sedang berlangsung.

Ervin, yang baru-baru ini mencipta sejarah sebagai atlet golf negara pertama memenangi acara individu lelaki, mengalahkan Weerawish Narkprachar 2-1, manakala Marcus tewas 0-1 kepada Ratchanon Chantananuwat, menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Rhaasrikanesh muncul penyelamat buat Malaysia apabila menang 1-0 menentang Pongsapak Laopakdee.

“Selepas pusingan yang sukar semalam, saya sangat gembira dengan pukulan-pukulan terakhir (yang dilakukan). Hati dah berdebar-debar sikit, akhirnya semuanya bagus,” kata Rhaasrikanesh kepada pemberita.

Malaysia hanya pernah dua kali memenangi acara berpasukan lelaki iaitu pada 1989 dan 2001.

Pasukan yang meraih emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur terdiri daripada Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.

Sementara itu, pasukan wanita yang dibarisi Mirabel Ting Ern Hui dan Jeneath Wong terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, selepas tewas pada Thailand 1.5 – 0.5.

Mirabel berjaya menjadikan kedudukan seri ketika berentap dengan Natthakritta Vongtaveelap, namun pemenang gangsa individu wanita, Jeneath, ditundukkan 1-0 oleh Eila Galitsky.

Bantahan oleh pasukan Malaysia yang mendakwa berlaku kesilapan teknikal kedi, bagaimanapun tidak berjaya membawa pertandingan ke pusingan penentuan.

Keputusan pada edisi kali ini adalah paling cemerlang dihasilkan pasukan golf kebangsaan dalam kempen Sukan SEA, menerusi dua emas, satu perak dan satu gangsa.

-BERNAMA


Pengarang :