Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guru ziarah rumah, buka saluran Youtube, elak pelajar tercicir sepanjang PdPR

SHAH ALAM, 14 MEI: Liputan Internet yang kurang baik terutamanya di kawasan luar bandar tidak menghalang semangat guru melaksanakan amanah bagi mencurahkan ilmu kepada anak didiknya sepanjang tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Idi Johan Mohd Zohdi, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustafa, Sekinchan berkata tempoh PdPR merupakan satu perjalanan yang sangat mencabar buat dirinya dan guru-guru lain.

“Kelemahan kami di luar bandar ini ialah tiada capaian Internet yang baik selain para pelajar juga tidak mempunyai modal untuk membeli data Internet memandangkan rata-rata pelajar di sini merupakan anak petani, nelayan dan buruh,” katanya kepada Bernama.

Idi Johan, 41, berkata dirinya juga mengalami masalah liputan Internet dan terpaksa ke jalan besar untuk mendapatkan capaian yang lebih baik demi memastikan proses PdPR berjalan lancar.

Katanya, apabila berada di kawasan liputan Internet yang baik, beliau akan menjalankan kelas tersebut di dalam kenderaannya.

Selain itu, guru matematik itu berkata demi memastikan tiada anak didiknya tercicir dalam sukatan pelajaran, beliau telah pergi ke rumah mereka bagi menyerahkan tugasan.

“Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, jika ada pelajar yang tidak dapat memberi sebarang maklum balas (semasa sesi pembelajaran dalam talian), saya sendiri hadir ke rumah mereka yang telah dikenal pasti untuk diberikan tugasan. Secara tidak langsung hubungan saya dengan penjaga mereka kekal baik,” katanya.

Beliau berkata untuk pengumpulan semua tugasan yang telah siap, beliau membahagikan para pelajarnya mengikut kumpulan berdasarkan lokaliti masing-masing.

“Saya akan lantik seorang ketua, ketua tersebut akan mengumpulkan kembali tugasan-tugasan yang diberi,” katanya yang telah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun.

Bagi Norjilawati Mohd Amin, 36, guru di SMK Setia Alam berkata cabaran sepanjang implementasi PdPR adalah dari segi kepuasan ketika mengajar, kerana pengajian secara dalam talian menyekat pergerakannya berbanding mengajar secara fizikal.

“Selain itu, ketiadaan peranti sesuai dalam kalangan pelajar, sedikit sebanyak merencatkan proses PdPR yang berlangsung. Walaupun membesar di bandar, ramai antara mereka (pelajar) lahir daripada keluarga berpendapatan rendah,” kata guru pengajian moral itu.

Bagaimanapun, Norjilawati berkata sepanjang tempoh itu beliau terpaksa keluar dari zon selesa dan perlu kreatif ketika sesi pembelajaran bagi meraih perhatian dan fokus pelajar.

“Kami mencari kaedah yang sesuai untuk menarik minat pelajar supaya fokus di dalam kelas, saya mengadakan ‘game’ dan menggunakan aplikasi yang sesuai selain menjalankan pelbagai aktiviti menarik.

“Selain itu, saya juga membangunkan laman Youtube, ‘JOM BELAJAR DENGAN CIKGU JILA’ untuk membantu pelajar memahami topik pembelajaran, belajar teknik menjawab soalan dan aktiviti pembelajaran di luar jadual waktu,” katanya yang telah 12 tahun berkhidmat sebagai guru.

Tambahnya, beliau juga mengambil inisiatif lain dengan menghantar modul pembelajaran melalui kotak yang disediakan di pondok pengawal sekolah untuk diambil oleh pelajar.

– BERNAMA


Pengarang :