Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 122,000 keluarga mangsa banjir terima bantuan RM1,000

PETALING JAYA, 7 MEI: Seramai 121,987 keluarga mangsa banjir pada Disember tahun lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan setakat Khamis lalu melibatkan belanja lebih RM122 juta termasuk waris korban bertujuan meringankan beban mangsa.

“Hatta diuji dengan keadaan luar biasa, perit, kita mampu bertahan, tahan diuji, istiqamah bekerja keras, merangka program kebajikan serta bantuan yang berkesan,” katanya berucap di majlis pelancaran Gagasan #kitasemuaKEADILAN di sini hari ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Selangor menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu turut meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :