Bangunan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Foto Arkib Selangorkini
AGENDASELANGOR

Hanya 50 individu dibenar ziarah pesakit HTAR, waktu lawatan dihad 30 minit

SHAH ALAM, 26 MEI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan jumlah pelawat di setiap wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dihadkan tidak melebihi 50 orang sewaktu sesi lawatan.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pada 25 April lalu, bertujuan mengawal kesesakan di wad ketika waktu melawat.

“Setiap pelawat dibenarkan melawat pesakit selama 30 minit sahaja pada satu-satu masa dan kapasiti pelawat bergantung kepada jumlah pesakit dalam satu wad, namun tidak melebihi 50 orang.

“Penambahan pelawat boleh dibenarkan untuk kes-kes tertentu dan boleh diubahsuai mengikut keadaan. Pas lawatan juga dikeluarkan supaya pihak pengurusan wad dapat menentukan jumlah pelawat pada setiap satu sesi lawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, JKNS akan memastikan dasar dan peraturan yang telah ditetapkan dalam polisi lawatan untuk penjaga serta pelawat di semua hospital semasa fasa peralihan ke endemik Covid-19 dikuatkuasa dengan sebaiknya.

“Polisi bagi pelawat dan penjaga yang disesuaikan dengan keperluan HTAR disediakan dengan tujuan baik dan tiada halangan bagi pelawat yang ingin menziarahi pesakit, namun perlu mematuhi garis panduan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, pada 22 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan Tatacara Pelawat dan Penjaga susulan kebenaran mengunjungi fasaliti kesihatan kepada penjaga serta pelawat selaras dengan hala tuju negara menuju ke arah endemik Covid-19.


Pengarang :