Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya pada 5 April 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

HARAPAN cadang sidang khas parlimen bincang isu kos sara hidup rakyat, RUU antilompat

SHAH ALAM, 27 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa sidang khas Parlimen segera diadakan bagi membahas Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti.

Majlis Presiden HARAPAN turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang khas bagi membincangkan isu kos sara hidup rakyat dan inflasi.

“Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah,” menurut kenyataan bersama.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menerusi kenyataan sama, HARAPAN berkata Ismail Sabri harus menunaikan janji untuk membahas RUU berkaitan.

“Sebelum ini, beliau telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.

“Justeru, Majlis Presiden HARAPAN menggesa perdana menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” katanya.

Semalam Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada dua tahun lepas, Ahli Parlimen Ampang tersebut meninggalkan KEADILAN untuk menyertai Bersatu.


Pengarang :