Program Berani Semuka sempena Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2022 bertajuk “Siapa Layak Bersama Anwar?” menampilkan dua calon Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada 11 Mei 2022. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR/SINAR HARIAN
AGENDANASIONAL

HARAPAN jadi blok terkuat jika raih semula undi atas pagar

SHAH ALAM, 11 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi blok terkuat dalam saingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika memperoleh semula 10 peratus undi atas pagar.

Menurut calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), undi Barisan Nasional (BN) tidak meningkat meski membentuk kerajaan dalam beberapa siri pilihan raya negeri yang lalu.

Rafizi Ramli menjelaskan undi BN kekal antara 40 hingga 43 peratus manakala undi HARAPAN khasnya atas pagar berpecah berikutan ada pengundi beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kita melihat kelesuan politik melampau hingga pengundi atas pagar yang memilih HARAPAN pada PRU lalu tidak keluar mengundi. Jika kita bertanding tiga penjuru untuk PRU akan datang, kita hanya perlukan lima hingga 10 peratus undi atas pagar.

“Jika kita dapat yakinkan penyokong tegar untuk teruja keluar mengundi dan berkempen, peratusan mengundi boleh meningkat lima peratus sekali gus membentuk blok terbesar dalam PRU,” katanya.

Beliau bercakap pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Karangkraf hari ini.

Sementara itu, Saifuddin yakin rakyat akan memberi undi jika sesebuah parti itu dilihat bersatu dan berdisiplin serta menghormati proses membuat keputusan.

“Jika tertib perjalanan dalam parti dicapai, barulah mereka meyakinkan rakyat. Jika berantakan, maka parti itu tidak menangkap sokongan rakyat walau hebat manapun strategi dan pendekatan.

“KEADILAN menghormati keupayaan setiap orang, kekuatan parti bukan pada seorang tokoh malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghargai idea dan sumbangan orang lain dan ini rahsia kekuatan kita selama 23 tahun,” katanya.


Pengarang :