Ruam merah pada tapak kaki dan tangan antara tanda-tanda jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada kanak-kanak. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HFMD: Arahan tutup sekolah bergantung penilaian pejabat kesihatan daerah

SHAH ALAM, 19 MEI: Arahan penutupan sekolah di negeri ini susulan jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) bergantung penilaian risiko pejabat kesihatan daerah (PKD).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan setiap PKD diberi tanggungjawab memantau penularan kes berkenaan selain memberi laporan dari semasa ke semasa.

“Pengarah setiap PKD akan mendapatkan laporan tempatan berhubung penyakit itu dan arahan penutupan sekolah juga dibuat mereka.

“Setakat ini, penularan jangkitan ini masih terkawal dan belum ada sekolah yang ditutup,” katanya ditemui pada Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.

Penyakit HFMD kian menular dalam kalangan kanak-kanak apabila mencatatkan 31,661 kes di seluruh negara antara Januari hingga 14 Mei lalu.

Peningkatan 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu menyaksikan Selangor menyumbang jumlah kes terbesar dengan 8,864 diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes.


Pengarang :