Selangorkini
AGENDA NASIONAL

HFMD: Jangkitan naik 15 kali ganda, catat 31,661 kes setakat Mei

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Jumlah kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska atau prasekolah iaitu 575 wabak atau 65 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (tiga peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya – 4,421 kes (14 peratus), Sabah – 2,650 kes (8 peratus), Perak – 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan – 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.

Beliau berkata sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia iaitu tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus) dan Perak 105 wabak (12 peratus).

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes.

Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi.

Beliau memperingatkan bahawa penyakit tersebut merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan orang ramai boleh melaporkan kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Selain itu, beliau memaklumkan penyakit HFMD berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran dengan kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun hampir 100 peratus, terutama di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti taska, tadika atau sekolah.

Justeru, ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai simptom jangkitan dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat awam, taska atau tadika dan membawa anak untuk mendapatkan rawatan, selain membersihkan permainan anak serta lantai rumah terutama di tandas.

Sebagai langkah proaktif mengekang penularan penyakit berjangkit, beliau berkata Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera telah mengaktifkan ciri terbaharu pengesanan penyakit berjangkit bagi mengesan kes selain Covid-19 seperti Rabies, denggi dan demam campak.

“Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menyemak status titik merah dan pelaporan kes-kes penyakit berjangkit di sesebuah kawasan dan membantu mereka menjalankan aktiviti harian dan merancang perjalanan secara lebih berhati-hati,” kata Dr Noor Hisham.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 1,074 kes denggi direkodkan pada ME ke-19, iaitu peningkatan 365 kes atau 51.5 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada ME sebelumnya (709 kes).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan sehingga kini adalah 14,725 kes berbanding 10,139 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 4,586 kes atau 45.2 peratus,” katanya.

Terengganu mencatatkan peningkatan peratusan kes denggi paling tinggi dengan 164.7 peratus, diikuti Labuan (150 peratus), Kedah (137.8 peratus), Negeri Sembilan (71.4 peratus), Selangor (42.6 peratus), Sabah (40.8 peratus), Kelantan (27.1 peratus), Perak (26.4 peratus), Kuala Lumpur dan Putrajaya (14.3 peratus), Sarawak (13.7 peratus) dan Pulau Pinang (3.4 peratus).

Perlis, Melaka, Johor, dan Pahang pula mencatatkan penurunan peratusan kes, manakala jumlah kumulatif kematian direkodkan akibat denggi pada ME ke-19 adalah sembilan kematian.

-BERNAMA


Pengarang :