Selangorkini
Ruam merah pada tapak kaki dan tangan antara tanda-tanda jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada kanak-kanak. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

HFMD: Tiga negeri catat peningkatan kes

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah, Terengganu serta Perak terus menunjukkan peningkatan namun masih terkawal.

Di SABAH, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Rose Nani Mudin memaklumkan setakat 16 Mei lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan 2,654 kes penyakit HFMD, peningkatan yang tinggi berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata lima daerah yang melaporkan kes tertinggi ialah Tawau (435), Sandakan (387),  Lahad Datu (308), Kota Belud (244) dan Papar (229).

“Sebanyak 93.1 peratus kes adalah kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Rose Nani berkata tiada kematian disebabkan HFMD dilaporkan setakat ini dan  meminta pengusaha pusat jagaan kanak-kanak atau tadika untuk melaksanakan tindakan bagi mengelakkan penularan wabak itu di premis masing-masing.

Di TERENGGANU, jumlah kes wabak itu dalam kalangan kanak-kanak terus mencatatkan peningkatan dengan 1,182 kes direkodkan dari awal tahun ini hingga Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 103 kes namun penularan HFMD masih terkawal kerana tidak melibatkan jangkitan serius dalam kalangan pesakit.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata kerajaan negeri akan menutup premis berkaitan jagaan kanak-kanak apabila mendapat nasihat atau arahan Kementerian Kesihatan jika kes jangkitan di negeri itu terus meningkat.

“Di Perak, kalau kes meningkat sampai ke tahap yang teruk, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan menutup tadika, taska dan pusat asuhan. Setakat ini, masih belum ada arahan untuk tutup,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2022.

Sebanyak 2,638 kes HFMD direkodkan di negeri itu setakat Selasa lepas.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes penyakit HFMD di Malaysia meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berakhir pada 14 Mei yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

— BERNAMA

 


Pengarang :