Hospital Kajang mencatat sejarah apabila berjaya melaksana prosedur pendermaan organ buat pertama kali pada 8 Mei 2022. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hospital Kajang catat sejarah, julung kali laksana prosedur derma organ

SHAH ALAM, 9 MEI: Hospital Kajang mencatat sejarah apabila berjaya melaksana prosedur pendermaan organ buat pertama kali, semalam.

Kejayaan itu mendapat penghargaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook, hari ini.

“Tanggal 8 Mei 2022 merupakan tarikh yang bersejarah buat Hospital Kajang kerana dengan julung kalinya berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ.

Hospital Kajang mencatat sejarah apabila berjaya melaksana prosedur pendermaan organ buat pertama kali pada 8 Mei 2022. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

“Terima kasih kepada Tissue & Organ Procurement (TOP) Team, Jabatan Anestesiologi & Unit Rawatan Rapi, Jabatan Perubatan, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Kecemasan dan Unit Forensik Hospital Kajang serta pasukan pakar Urologi Hospital Kuala Lumpur yang membantu menjayakan pelaksanaan prosedur ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma dengan menyifatkannya sebagai anugerah kehidupan sangat bernilai untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ.

Menurut Dr Noor Hisham, berdasarkan rekod terkini terdapat lebih 4,600 pesakit dalam senarai menunggu organ di negara ini.

“Sehingga kini, sejumlah 2,624 pesakit telah menerima manfaat pembedahan transplantasi organ hasil pendermaan organ selepas kematian dan penderma hidup.

“Bagi tujuan menyelaras dan melicinkan proses pendermaan organ, unit atau pasukan perolehan organ ditubuhkan di hospital-hospital KKM sebagai inisiatif untuk mengukuhkan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau  menyeru semua pihak untuk terus menyokong program pendermaan organ di negara ini demi membantu pesakit.

“Daftarlah sebagai pengikrar derma organ dan maklumkan hasrat kepada keluarga.  Untuk sebarang maklumat lanjut, laman web derma organ boleh layari www.dermaorgan.gov.my ,”katanya.

Pasukan perubatan melaksanakan prosedur pendermaan organ di Hospital Kajang pada 8 Mei 2022. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

Pengarang :