Keadaan terkini banjir di Pekan Sekinchan. Beberapa taman perumahan dan balai polis turut dinaiki air. Foto Ahli Majlis Zon 3 Majlis Daerah Sabak Bernam Elis Miswan
AGENDANASIONAL

Hujan lebat, ribuan rumah dan premis awam di Sekinchan dinaiki air

SHAH ALAM, 25 MEI: Ribuan rumah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan dinaiki air hampir setengah meter susulan hujan lebat antara 11 pagi hingga 2 petang tadi.

Menyifatkan banjir kilat itu terburuk pernah berlaku, wakil rakyatnya Ng Suee Lim berkata premis awam turut terjejas termasuk balai polis dan dewan orang ramai.

“Paras banjir berkurang selepas Jabatan Pengairan dan Saliran membuka pintu air. Bagaimanapun, kita terus bersedia kerana hujan masih renyai dan dijangka berlarutan sehingga 6 petang ini.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim ketika ditemui pada protes aman bersama pesawah di Sekinchan pada 27 APRIL 2021. FOTO MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

“Setakat ini tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi pemantauan dilakukan termasuk bersedia membuka PPS sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata banjir itu turut menjejaskan dan merosakkan beberapa kenderaan yang tidak disempat dialihkan ke kawasan tinggi.

“Kita minta penduduk tidak panik dan cuba selamatkan barangan berharga dahulu. Bersedia dan peka dengan paras air kerana risau banjir kembali.

“Semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan daerah, bomba dan pasukan keselamatan lain kini bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Hujan lebat sejak pagi tadi di Lembah Klang turut menyebabkan beberapa jalan di ibu kota ditakungi air antaranya Jalan Sultan Ismail, Jalan Duta Mas dan Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.

 


Pengarang :