Selangorkini
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis membawa keluar sebahagian anggota badan dipercayai seorang daripada dua wanita yang hilang dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam yang ditemui dalam timbunan tanah pada 16 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hurungan lalat, bau antara petunjuk cari pendaki hanyut

IPOH, 17 MEI: Petunjuk seperti hurungan lalat dan bau di sekitar kawasan kejadian antara fokus operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita dipercayai dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, Ahad lepas.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Umrani Che Mat berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini lebih memfokuskan kepada kawasan pencarian melibatkan laluan air daripada bawah hingga atas dianggarkan sejauh satu kilometer di kawasan kejadian.

“Operasi gerak kerja hari ini lebih kepada penggunaan peralatan seperti cangkul dan skop. Ini kerana kita mengesyaki mangsa terlibat berada di bawah lumpur dan juga timbunan kayu dibawa kepala air berdasarkan kepada pemerhatian pasukan penyelamat yang menemukan sebahagian anggota badan mangsa berada di bawah lumpur dan timbunan kayu.

“Bagaimanapun, sehingga kini pasukan penyelamat masih belum mendapat sebarang petunjuk (penemuan mayat),” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Beliau berkata 63 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak, Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands serta Pertubuhan Bantuan Perubatan Kecemasan (TEMS).

Semalam, pasukan SAR menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Muhammad Shahrizal Aris dilapor berkata anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki ditemukan petang Ahad yang mana anggota badan itu ditemukan di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas.

Pada Ahad, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46.

Beliau berkata semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras.

— BERNAMA


Pengarang :