Kakitangan pejabat DUN Batu Tiga menunjukkan kad khas kesihatan dan pengisian minyak “Shah Alam N41” pada Program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Meranti, Shah Alam pada 1 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Iltizam Selangor Penyayang bermula Julai, lebih banyak manfaat untuk penduduk

HULU LANGAT, 18 MEI: Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang menggantikan Insiatif Peduli Rakyat akan dilaksana mulai Julai ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim bakal diperkenalkan ke seluruh kawasan apabila formula baharu itu lengkap sepenuhnya.

“Kaunter pendaftaran Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dibuka untuk perkenalkan pendekatan baharu kepedulian Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Kita juga rasmikan pelancaran program Saringan Sihat walaupun ia sudah berjalan di pusat khidmat. Ini merupakan program tambahan dalam ISP,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi malam tadi.

Amirudin berkata ISP mengetengahkan konteks kepedulian, penyayang dan semangat kemanusiaan yang lebih luas bertujuan membantu kebajikan rakyat.

Menerusi skim berkenaan, lebih ramai penduduk menerima manfaat antaranya Bingkas yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

ISP juga menambah baik inisiatif kesihatan kepada orang ramai termasuk memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.

 


Pengarang :