Jamsari Sabian (kiri) ketika memberi tunjuk ajar kepada anak didiknya.
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Jamsari keluar ‘guaʼ asah bakat baharu penjaga gol

Meraih lebih 10 gelaran kejuaraan sememangnya pencapaian hebat buat bekas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian sepanjang lapan tahun sebagai pemain bola sepak profesional.

Namun selepas menggantung sarung tangan pada 2008, bekas pemain skuad kebangsaan bagi Piala Dunia Remaja 1997 terus menghilangkan diri daripada arena sukan negara sedangkan status sebagai pemenang pelbagai kejohanan berprestij pasti melayakkan dirinya menjadi jurulatih.

Jamsari mendedahkan punca beliau menyepi diri seketika dan sebab beliau kembali mewarnai dunia bola sepak kepada wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar Hafiz Othman dan Remy Arifin dalam temu bual pada 18 April.

Sebaik sahaja kempen Liga Malaysia pada 2008 melabuhkan tirai, Jamsari Sabian yang ketika itu beraksi bersama Proton FC sedar masanya sudah tiba untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional walau dirinya pada waktu berkenaan masih berusia 30 tahun.

Usia itu sebenarnya waktu puncak bagi mana-mana pemain terutama penjaga gawang. Legenda Itali, Dino Zoff membuktikannya apabila membantu pasukan kebangsaannya menjulang Piala Dunia pada 1982 ketika dirinya berusia 40 tahun.

Namun Jamsari yang membantu Selangor memenangi tiga piala pada 2005 iaitu Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA sudah nekad. Beliau mahu meletakkan tanda noktah pada kerjaya yang dicintainya itu.

Bagi anak jati Kuala Lumpur itu, tiada apa lagi hendak dibuktikannya selepas mengecap kerjaya gemilang dengan memenangi kesemua kejohanan di Malaysia termasuk ketika bersama pasukan MPPJ FC dan Kedah.

Paling manis sudah tentunya ketika beraksi bersama MPPJ FC pada 2001 hingga 2004, Jamsari antara watak utama mencipta sejarah membantu pasukan berstatus kelab pertama di negara menjulang Piala Malaysia pada 2003.

Jamsari kini berumur 44 mengimbas saat beliau berputus asa dengan bola sepak Malaysia. Hatinya hancur apabila pengurusan pasukan disertainya tidak menepati janji. Perasaan itu juga menyebabkan beliau bertindak menjual sebahagian daripada koleksi pingat dimenanginya.

“Peristiwa itu membuatkan saya tawar hati. Selepas bersara saya jauhkan diri daripada terbabit dengan bola sepak profesional… lagi pun saya sudah ada ‘lesen besar’ untuk bersara apabila dapat bermain dengan Selangor.

“Saya pernah berjanji bersara selepas menang piala dengan Selangor, ia termakbul dan saya juga sudah menang semua piala di Malaysia untuk menjawab kritikan seorang jurulatih yang mengatakan saya tiada masa depan dalam bola sepak,” katanya.

Berbeza dengan ramai rakannya yang menjadi jurulatih, bekas pemain skuad kebangsaan Piala Dunia Remaja 1997 dan Olimpik 2000 memilih haluan berbeza. Jamsari bekerja dengan rakannya di bidang lain.

Padang bola yang sebelum ini menjadi rumah keduanya tidak lagi menjadi persinggahan. Sarung tangan yang digunakan untuk menyelamatkan gawang gol daripada dibolosi lawan digantung rapi. Pendek kata, Jamsari ‘merajuk’ dengan sukan dicintainya itu.

Kembali turun padang

Namun pertemuan dengan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed pada 2016 mengubah segalanya. Teguran keras pemain tinggi lampai itu membuka hati Jamsari untuk kembali mewarnai bola sepak negara.

“Chief (nama panggilan Khairul Azman) tegur saya ‘takkan ilmu hendak simpan sampai dalam kubur, tak salah ajar budak baharu’. Kata-kata itu menyentuh hati saya….dahulu pemain lama ajar saya tetapi saya pula tidak buat perkara sama.

“Saya dulu pun bermula daripada bawah dan ada orang bantu sebelum capai pelbagai kejuaraan,” katanya.

Lantas, Jamsari kembali ke padang dan berusaha mendapatkan sijil kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia dan Konfederasi Bola Sepak Asia. Hasilnya beliau memegang lesen jurulatih penjaga gol tahap tiga.

Pemegang lesen B kejurulatihan itu juga dalam proses mengumpul dana untuk memohon lesen A yang membolehkannya menjadi jurulatih kepada pasukan bertanding di Liga Super, kejohanan paling berprestij di Malaysia.

Jamsari Sabian

Jamsari diberikan kepercayaan menjadi jurulatih penjaga gol skuad muda UiTM FC dan dia mampu tersenyum puas apabila dapat membantu melatih bakat muda untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Memang seronok dapat jadi jurulatih pemain muda, teringat ketika saya baru hendak bermain dahulu. Saya kongsi segala pengalaman yang ada.

“Paling penting saya ajar mereka bagaimana untuk membawa diri sebagai pemain profesional dan elak berdepan situasi saya hadapi dahulu,” jelas Jamsari yang bakatnya dicungkil ketika di bangku sekolah rendah dan pelbagai kejohanan tempatan seperti Piala Coke.

Meminati penjaga gol Amerika Syarikat Tony Meola, beliau menyifatkan terbabit dengan projek pembentukan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 1997 yang diadakan di Malaysia sebagai pengalaman menakjubkan.

Melalui projek sukan itu, Jamsari diberi pendedahan luas termasuk berlatih di luar negara. Antara kenangan paling tidak boleh dilupakan apabila tinggal di blok bangunan sama dengan pasukan Marseille yang beraksi di liga utama Perancis.

Di bangunan itu, beliau bertemu dengan legenda penjaga gol Jerman, Andreas Köpke ketika berlatih di kemudahan pasukan itu semasa bersama skuad kebangsaan Piala Dunia Remaja 1997.

“Biasanya pasukan utama akan tinggal di rumah itu sehari sebelum perlawanan, kebetulan kami berada di tingkat bawah manakala mereka di atas. Dapat juga jumpa dan dapatkan ilmu,” katanya yang ralat apabila sarung tangan Köpke tidak jadi diberikan kepadanya kerana saiznya besar.

Pasukan itu turut berlatih di stadium terkemuka lain termasuk di AS Monaco dan Arsenal. Ketika itu, lawan mereka ketika aksi persahabatan termasuklah bintang dari Perancis, Thierry Henry.

“Rezeki kami dapat menimba ilmu dan melihat kemudahan kelab terkemuka di sana yang jauh beza dengan di Malaysia.

“Selepas tamat Piala Dunia Remaja, kami dikekalkan pula untuk beraksi di kelayakan Olimpik 2000,” katanya.

Bukan faktor kewangan

Tidak lengkap sekiranya pertemuan dengan Jamsari tidak membincangkan isu penjualan pingat yang hangat diperkatakan dua tahun lalu. Kebetulan pada waktu itu, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus turut bertindak melepaskan kasut emas dimenanginya.

Sememangnya pingat itu mempunyai kenangan namun Jamsari ada alasan tersendiri. Faktor kekecewaan yang mempunyai kaitan dengan janji tidak ditepati pengurusan sebuah persatuan mendorongnya berbuat demikian.

Bukan soal kewangan semata-mata kerana ada antara hasil jualan pingat itu disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik. Contohnya tiga pingat kejuaraan dimenangi ketika bersama Kedah disumbang untuk tabung kemanusiaan Syria dan Palestin.

Jualan pingat pada 2020 pula digunakan bagi menjalankan perniagaan kerepek dan sebahagian hasil jualannya diguna membeli barangan keperluan seperti beras selain membantu kenalannya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Memang ada orang marah bila saya jual pingat kerana bukan senang hendak jadi juara, tetapi ada tersirat harus difahami. Ada perkara berlaku membuatkan kita kecewa.

“Hasil jualan pun ada digunakan membantu orang susah yang lain, ada untung sikit kita kongsi dengan orang lain,” menurutnya.

Kini hanya ada empat pingat masih dalam simpanan Jamsari termasuk Piala Malaysia yang dimenangi ketika bersama MPPJ FC pada 2005.

Baginya, ia mempunyai nilai tersendiri dan menjadi bukti kemampuan pasukan kerdil itu melawan pasukan gergasi lain.

Justeru, harapan Jamsari jika ada pihak mahu membelinya biarlah individu itu benar-benar dapat menghargainya.

Jamsari turut memasang impian, sekiranya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sudi membeli pingatnya untuk disimpan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor.

“Ini kerana Baginda mempunyai galeri bola sepak sendiri dan saya berbesar hati sekiranya koleksi pingat itu dapat diletakkan di sana,” jelasnya.


Pengarang :