AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangkitan HFMD naik 20 kali ganda, catat 47,209 kes hingga 21 Mei

SHAH ALAM, 24 MEI: Sejumlah 47,209 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan setakat 21 Mei, meningkat 20 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu sudah dijangka berikutan pergerakan penduduk semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata Selangor menyumbang jumlah kes terbesar iaitu 13,640 kes (28.9 peratus) diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 6,206 kes (13.1 peratus) dan Perak 4,099 kes (8.7 peratus).

Manakala Kelantan pula mencatatkan 3,726 kes (7.9 peratus), Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 43,736 kes (93 peratus) diikuti kumpulan tujuh hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (enam peratus).

“Manakala selebihnya lebih 12 tahun iaitu 696 kes (satu peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menambah sebanyak 1,168 wabak dilaporkan dengan tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 413 wabak, Selangor (143) dan Perak (130).

Menurutnya, majoriti jangkitan berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak diikuti rumah persendirian (407) dan pusat jagaan kanak-kanak (42).

“Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” katanya lagi.


Pengarang :