AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut di Selangor terkawal

HULU LANGAT, 18 MEI: Tindakan menutup sekolah atau taska akan diambil sekiranya jumlah jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada tahap tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini jangkitan berkenaan masih terkawal dan tiada sekolah ditutup akibat penyakit itu.

“Belum ada sekolah ditutup. Saya sudah minta laporan terkini untuk melihat keseluruhan jangkitan.

“Jika sampai ke tahap kes tinggi, kita akan ambil tindakan termasuk tutup sekolah kerana penyakit ini sensetif dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor daerah Hulu Langat di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi malam tadi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes HFMD meningkat 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 31,661 kes dilaporkan.

Selangor menyumbang kes terbesar dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya – 4,421 kes (14 peratus), Sabah – 2,650 kes (8 peratus), Perak – 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan – 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.

 


Pengarang :