Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah DUN dan parlimen Julai ini, perkenal konsep kebajikan baharu

KLANG, 22 MEI: Kerajaan Negeri bakal turun ke setiap dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen Julai ini bagi memperkenalkan konsep kebajikan baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jelajah itu juga bagi memberi penjelasan dengan lebih terperinci berhubung program dilaksanakan.

“Julai ini saya akan turun ke setiap daerah dan parlimen untuk menerangkan kepada rakyat berhubung istilah baharu, terma baharu, konsep baharu serta pendekatan baharu Kerajaan Negeri melaksanakan program.

“Kita bukan hanya bertukar nama (program) tetapi kita mahu menanamkan budaya dan semangat kasih sayang antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Kompleks Sukan Pandamaran di sini malam tadi.

Amirudin turut menyifatkan kebajikan bukan hanya dilakukan kerana sikap kepedulian atau keprihatinan sebaliknya ia sebagai tanda kasih sayang Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Program kebajikan ini juga sebagai medium untuk membentuk satu masyarakat di samping menjadi salah sebuah negeri penyayang,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri bakal perkenal program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang menggantikan Insiatif Peduli Rakyat akan dilaksana mulai Julai ini.

Skim bakal diperkenalkan ke seluruh kawasan apabila formula baharu itu lengkap sepenuhnya.

Menerusi skim berkenaan, lebih ramai penduduk menerima manfaat antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.


Pengarang :