Peserta menghadiri temu duga program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gemilang Dengkil, Sepang pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah JobCare Dengkil tarik minat lebih 100 pencari kerja

SEPANG, 14 MEI: Siri keempat Jelajah JobCare yang berlangsung di Dewan Taman Gemilang, Dengkil di sini hari ini berjaya menarik minat 108 pencari kerja dari seluruh negeri.

Ketua penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) berkata daripada jumlah itu, seramai 12 peserta diterima bekerja dalam sektor perkilangan dan logisitik manakala 46 layak menghadiri temu duga kedua.

Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS), S Vijayan bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gemilang Dengkil, Sepang pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sambutan menggalakkan kerana ini merupakan percubaan pertama jelajah diadakan di kawasan luar bandar berbanding tiga siri jelajah sebelum ini di kawasan bandar.

“Kebanyakan peserta adalah lepasan diploma dan ijazah sarjana muda yang sedang menganggur selain mahu mencari pekerjaan lebih baik untuk masa depan masing-masing,” kata S Vijayan ketika ditemui Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan antara 300 hingga 400 peserta akan mendapat tawaran kerja melalui 10 siri jelajah di peringkat daerah bermula sejak 26 Februari dan dijadual berakhir 25 Jun depan.

Vijayan turut berharap karnival berkenaan mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran di Selangor yang merekodkan 2.9 peratus pada suku keempat tahun lalu.

“Sebab itu kita buat karnival di setiap daerah kerana kalau tidak, mereka tidak akan datang ke tempat kita. Peluang harus diberikan kepada mereka supaya manfaat dapat dinikmati bersama,” katanya.

Jelajah JobCare menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dengan disertai 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  1. Hulu Langat – Dewan Demesne (21 Mei)
  2. Dewan Serbaguna Air Panas, Setapat (22 dan 23 Mei)
  3. Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
  4. Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
  5. Kuala Langat – Dewan Banting Baru (18 Jun)
  6. Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)

Pengarang :