Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati pada 16 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah rumah terbuka bukti komitmen Kerajaan Negeri dekati rakyat

GOMBAK, 17 MEI: Jelajah Rumah Terbuka Aidilfitri ke sembilan daerah memberi peluang kepada pimpinan atasan negeri mendekati rakyat dan memahami isu semasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia terbukti apabila setiausaha Kerajaan Negeri, timbalannya, pegawai kewangan dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turun padang menyertai acara tersebut.

“Jelajah ini bukan hanya merafak rasa syukur atas pandemik yang semakin reda dan pembukaan ekonomi serta peralihan ke fasa endemik.

“Malah, jelajah ini juga akan meneliti perancangan dirancang setiap tahun. Contohnya saya akan turun padang Julai ini untuk perkenal Program Iltizam Selangor Penyayang yang merupakan pemantapan nilai insani dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di Gombak yang diadakan Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati pada 16 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri menjelajah ke sembilan daerah dalam tempoh seminggu bermula semalam di Hulu Selangor.

Program selama tiga jam yang berlangsung pada sebelah petang atau malam sehingga 21 Mei itu turut diserikan dengan acara sumbangan duit raya dan persembahan seni.


Pengarang :