Peserta membuat pendaftaran sebelum masuk ke dewan untuk sesi temu duga ketika program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gemilang Dengkil, Sepang pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Jobcare: Buka peluang peroleh kerja tetap, terokai bidang baharu

SEPANG, 15 MEI: Hasrat untuk mendapat pekerjaan tetap selain meneroka bidang baharu mendorong seorang pemuda menghadiri Jelajah JobCare di Dewan Taman Gemilang, Dengkil di sini semalam.

Muhammad Noor Aidil Rostam, 25, berkata sejak menamatkan pengajian Diploma Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Februari lalu, dia hanya bekerja sambilan sebagai kru acara dan gaji diperoleh tidak mencukupi.

“Saya ingin ceburi lebih banyak bidang dan timba pengalaman lain pula memandangkan sudah lama berada dalam industri muzik.

“Lagipun saya perlukan kerja tetap, kalau kerja sambilan faham-faham sajalah, kadang-kadang ada kadang-kadang tiada. Gaji pun bergantung kepada kerja yang kita buat,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberikannya peluang untuk menyertai jelajah tersebut selain berharap mendapat keputusan yang menggembirakan.

“Sebenarnya ini kali pertama saya datang ke karnival kerjaya. Alhamdulillah, sesi temu duga berjalan lancar tetapi banyak benda perlu diperbaiki pada masa akan datang.

“Saya ditemu duga oleh beberapa syarikat antaranya Ikhasas dan WRP Asia Pacific. Saya amat berharap agar ada rezeki untuk bekerja dengan mana-mana syarikat,” katanya yang tinggal di Putrajaya.

Bagi Nur Hanif Awang Da, 27, jelajah berkenaan membuka ruang buatnya untuk memperoleh jawatan tetap berikutan kontrak kerja sekarang sebagai juruteknik hampir tamat.

Graduan lepasan ijazah sarjana muda kejuruteraan dari Universiti Teknologi Petronas berkata sebelum ini dia turut berkhidmat sebagai jurutera junior selama dua tahun, namun nekad meletak jawatan atas faktor tertentu.

“Saya memang mahukan kerja tetap supaya boleh tanggung keluarga, apatah lagi baru sahaja dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia hampir sebulan dan banyak komitmen perlu dipikul.

“Jadi saya harap satu daripada empat syarikat yang menemu duga saya dapat tawarkan jawatan. Insya-Allah, mereka akan beri maklum balas minggu depan,” katanya.


Pengarang :