Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada Karinval Jualan Mega Prihatin Rakyat di pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Jualan murah barangan asas diteruskan, kutip hasil lebih RM3.7 juta sejak Februari 

SHAH ALAM, 27 MEI: Program Intervensi Ehsan yang dilaksanakan sejak Februari lalu bagi meringankan kos perbelanjaan rakyat berjaya merekodkan nilai jualan lebih RM3.7 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu hampir RM3 juta diperoleh daripada program Jualan Prihatin Rakyat di 56 Dewan Undangan Negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sepanjang Jualan Prihatin Mega sempena Aidilfitri yang berlangsung selama tiga hari pula berjaua mencatatkan jualan sebanyak RM763,000.

Jualan Prihatian Mega itu dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Bermula Februari, ayam, daging, ikan, minyak paket, telur dan sayuran berkualiti dijual lebih murah dari harga pasaran sehingga Aidilfitri.

“Program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah menambah kegembiraan ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Dengan tekad dan iltizam yang kuat Kerajaan Negeri akan berikhtiar sebaik-baiknya demi rakyat Selangor,” katanya di Facebook hari ini.

Menerusi inisiatif Jualan Prihatin Rakyat itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 satu pek).

Susulan itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan program jualan ayam murah mulai 1 Jun hingga Aidiladha selain sebagai langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani kekurangan bekalan ketika ini.

EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim berkata ayam akan dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran dan diharap membantu pengguna mendepani isu kenaikan harga barang.


Pengarang :