Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Kakitangan MBSJ terlibat tangkap anjing liar lengkap vaksin antirabies

SUBANG JAYA, 26 MEI: Seramai 20 kakitangan Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang terlibat penangkapan anjing liar lengkap menerima tiga dos vaksin antirabies pada 17 Mei lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata susulan itu pihaknya akan melaksanakan aktiviti menangkap anjing terbiar dengan lebih agresif.

“Sebelum ini, MBSJ pernah memaklumkan akan memberi dos lengkap vaksin antirabies kepada kakitangan terlibat dan Alhamdulillah mereka sudah pun terima.

“Oleh itu, mereka akan turun padang bagi membantu menangkap dan mengesan lebih banyak anjing liar atau terbiar di sekitar kawasan Subang Jaya,” katanya pada Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 5/2022 di Ibu Pejabat MBSJ semalam.

Bagaimanapun, Johary berkata setakat hari ini sampel yang diambil daripada anjing dan kelawar yang ditangkap tidak menunjukkan positif rabies.

“Anjing yang ditangkap terutama dalam lingkungan 10 kilometer radius dari lokasi kes kematian akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pelupusan dan kajian,” katanya.

Pada 10 April lalu, seorang lelaki berusia 39 tahun dari SK6/1 Taman Bukit Serdang, Subang Jaya meninggal dunia akibat rabies, manakala seorang warga emas berusia 85 tahun dari Kuala Langat turut dijangkiti virus itu.


Pengarang :