Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di pekarangan Stadium Shah Alam 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Karnival jualan murah bantu rakyat buat persiapan Aidilfitri

SHAH ALAM, 1 MEI: Karnival Jualan Mega Prihatin yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam di sini disifatkan tepat pada masanya.

Seorang warga emas Zulkifli Ramli, 70, berkata beliau tidak melepaskan peluang dan tiba seawal jam 9 pagi untuk membeli-belah bahan asas bagi menyediakan juadah raya.

“Program ini tepat pada masanya terutama buat masyarakat Melayu yang bakal menyambut hari raya tidak lama lagi, semua barang ada di sini bukan sahaja ayam tetapi daun kunyit lengkuas semua lengkap.

“Hari ini saya beli enam ekor ayam dan empat kilogram daging untuk persediaan masakan juadah raya nanti,” katanya ketika ditemui Selangorkini semalam.

Seorang lagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Sabariah, 70, mengakui harga jualan di karnival itu amat berbaloi jika dibandingkan dengan harga di pasaran.

“Harga yang ditawarkan amat murah dan menjimatkan. Saya tidak melepaskan peluang beli empat ekor ayam dan sayur-sayuran untuk memasak rendang pada pagi raya nanti.

“Tidak sabar mahu menyambut hari raya selepas dua tahun tidak meraikan bersama lima anak dan 16 cucu. Alhamdulillah tahun ini dapat buat persiapan lebih meriah,” katanya yang tinggal di Seksyen 13 di sini.

Zulkifli Ramli

Manakala, Mohd Firdaus Mohd Bahaman, 38, berkata program itu patut diteruskan lagi selepas perayaan kerana ia amat memanfaatkan rakyat terutama yang terjejas ketika harga barangan kian meningkat.

“Terima kasih Kerajaan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana menganjurkan program ini dan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya.

Karnival Jualan Prihatin Rakyat Mega berlangsung di tiga lokasi tapak jualan semalam iaitu di Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.

Program itu menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :