Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair di Unisel, Shah Alam pada 12 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival Kerjaya Mega tawar lebih 20,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 12 MEI: Lebih 20,000 peluang kerja ditawarkan melalui Karnival Kerjaya Mega yang dijadual berlangsung pada 11 dan 12 Jun ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata program secara fizikal itu membabitkan penyertaan lebih 100 syarikat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik dan pengurusan.

“Kita memandang serius kadar pengangguran direkodkan di Selangor pada suku pertama tahun ini iaitu 3.2 peratus. Oleh sebab itu program ini diadakan bagi memastikan angka tersebut dapat dikurangkan.

“Kali ini diadakan dengan skala lebih besar selepas dua tahun dibuat secara hibrid disebabkan tatacara operasi piawai (SOP) pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran karnival berkenaan dan http://selangorjobportal.com.my yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Antara syarikat terlibat ialah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Syarikat lain meliputi Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin menyeru belia mengambil peluang selama dua hari selain menggalakkan pradaftar melalui portal tersebut bagi memudahkan majikan mendapatkan tenaga kerja.

Menurutnya, lawatan juga akan dilakukan ke beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi taklimat kepada bakal graduan berhubung inisiatif terbabit.

“Kita percaya program ini akan menarik minat ramai pencari kerja pada hari berkenaan. Justeru, kita akan tetap pastikan mereka mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan sanitasi tangan,” katanya.


Pengarang :