Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han bersama 30 anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Keramat, Kuala Lumpur sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 Mei 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

KDEBWM jangka lima pusat kitar semula beroperasi menjelang akhir tahun

SHAH ALAM, 23 MEI: Kemudahan kitar semula bahan (MRF) melibatkan lima lokasi di Selangor yang mampu mengurus 100 tan sisa sehari dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir memaklumkan pengoperasian MRF meliputi tiga di Hulu Selangor manakala masing-masing satu di Sepang dan Kajang selain perbincangan sudah diadakan bersama pemilik tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita telah bincang dengan tuan tanah kerana ada tanah dimiliki PBT dan individu. Rundingan juga dibuat berkaitan harga sewa, jika setuju kita akan buat pelan pembangunan serta membina kemudahan tersebut.

“Insya-Allah sebelum Disember kita berupaya buka lima lagi (MRF) menjadikan keseluruhan tujuh MRF di negeri ini,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen SACC di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM Ng Sze Han dan Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Dalam pada itu, Ramli berkata pihaknya menyasarkan 12 MRF dibangunkan di Selangor dalam tempoh setahun setengah.

Pada 26 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 berkata pusat MRF akan diperluaskan ke setiap daerah bagi mengurangkan bahan dan peralatan yang mempunyai unsur pakai buang.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ketika ini syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Negeri itu menubuhkan dua pusat MRF di Meru, Klang dan Bukit Puchong, Subang Jaya.


Pengarang :