EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman bergambar bersama peserta ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kejohanan seni bela diri dapat sambutan, 1,500 peserta terlibat

SHAH ALAM, 29 MEI: Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV mendapat sambutan apabila seramai 1,500 peserta menyertai pertandingan yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata rata-rata peserta termasuk tiga persatuan seni bela diri iaitu silat, taek won do dan silambam teruja dengan penganjuran program.

“Ini hari bersejarah buat Kerajaan Negeri kerana dapat menggabungkan tiga seni bela diri dalam satu program.

“Matlamat penganjuran program ini adalah menyatupadukan pelbagai kaum melalui seni bela diri selain memberi pendedahan kepada belia serta mahu seni pertahan diri tidak ditinggalkan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Peserta silat menunjukkan aksi ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas perasmian kejohanan tersebut yang berlangsung bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata pihaknya bercadang untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang.

“Sambutan diterima menggalakkan kerana peserta bukan sahaja dari Selangor tetapi Melaka dan Johor,” katanya.

Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV anjuran Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pelbagai acara ditawarkan antaranya acara silat seni tempur dan tari sembah, taek wan do serta silambam.

Selain itu, pengunjung turut dipertontonkan dengan demonstrasi seni bela diri, senamrobik dan persembahan pemuzik jalanan.

Peserta taek won do beraksi ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :