Polis akan berkongsi maklumat akaun keldai dengan semua institusi kewangan supaya pemiliknya disenarai hitam daripada membuka akaun baharu.
AGENDAJENAYAH

Keldai akaun: Pemilik akan disenarai hitam, halang buka akaun baharu

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Maklumat akaun bank yang digunakan sebagai akaun keldai akan dikongsi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan semua institusi kewangan supaya pemiliknya disenarai hitam daripada membuka akaun baharu.

Maklumat berkenaan juga akan disenaraikan dalam ‘Portal Semak Mule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang boleh diakses melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata trend jenayah komersil kini menyaksikan akaun keldai semakin berleluasa digunakan oleh penjenayah untuk menerima wang hasil daripada aktiviti penipuan dalam talian dan menerusi media sosial.

“Sepanjang tahun lepas, sebanyak 29,769 akaun bank didapati digunakan sebagai akaun keldai, manakala bagi tahun ini sehingga 10 Mei lepas, sebanyak 1,669 akaun keldai direkodkan.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,659 individu ditahan dan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata siasatan polis menunjukkan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh penjenayah sebenarnya mengetahui bahawa mereka tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak.

Justeru, beliau menggesa individu atau syarikat yang tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank mereka dan akaun itu digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang, agar segera menutup akaun berkenaan.

“Tindakan tegas akan diambil dengan menangkap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai dan seterusnya mencadangkan pertuduhan ke atas mereka kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Mohd Kamarudin turut memohon kerjasama pertubuhan bukan kerajaan di negara ini untuk membantu polis memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa mereka tidak boleh berselindung sebagai mangsa apabila membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh orang lain untuk aktiviti jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik akaun berkenaan sebagai rakan sejenayah dan pensubahat.

– BERNAMA


Pengarang :