Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kenaikan OPR seiring prestasi ekonomi negara – pakar

SHAH ALAM, 25 MEI: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Dasar Semalaman (OPR) tepat dan bersesuaian dengan landskap ekonomi ketika ini, kata pakar.

Ketua penganalisis ekonomi Bank Islam Malaysia berkata tindakan berdasarkan pemantauan badan kewangan negara itu terhadap data ekonomi selain mengambil pandangan penyelidik.

“Jika lihat data suku pertama antara Januari hingga Mac, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) catat pertumbuhan lima peratus. Sepanjang tahun lalu 3.1 peratus.

“Pada 2020 ekonomi menguncup 5.6 peratus. Begitu juga dengan kadar pengangguran. Ketika penularan Covid-19 kita catat 5.3 peratus pada Mei 2020 dan Mac lalu turun kepada 4.1 peratus.

“Kalau amati angka penggabungan KDNK dan kadar pengangguran ini, keputusan naikkan OPR tepat dengan landskap ekonomi sekarang,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara: Kesan Kenaikan OPR yang disiar di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Pada 11 Mei mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.


Pengarang :