Sebuah syarikat didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang dikesan pada 11 Ogos 2021. Foto JAS Selangor
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri larang syarikat proses sisa plastik di Sepang terus operasi

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan Negeri menolak permohonan lesen sementara dan penyambungan bekalan elektrik sebuah syarikat yang menjalankan operasi memproses sisa plastik kitar semula di Sepang.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira aduan penduduk dan kesan sisa plastik kepada ekosistem serta kesejahteraan masyarakat negeri ini.

“Pelaksanaan larangan itu susulan daripada isu pencemaran yang kerap berlaku dan aduan lambakan sisa plastik akibat daripada pengurusan sisanya yang tidak diurus dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, peningkatan import sisa plastik ke Malaysia oleh kilang dan premis tanpa had juga merupakan punca utama berlakunya pencemaran.

“Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk menangani isu ini dengan menggunakan pendekatan serta perspektif nasional dan seterusnya beralih kepada kaedah, konsep serta material yang lebih mesra alam.

“Ini akan memastikan industri masih terus berkembang dengan mengadaptasi konsep teknologi hijau dan pada masa yang sama melestarikan alam sekitar,”katanya.


Pengarang :