Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Kerja pembaikan paip pecah di Taman Pertama selesai, bekalan air mula disalurkan

SHAH ALAM, 1 MEI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja pembaikan susulan insiden paip pecah di Rumah Pam Pudu Ulu Baru, Taman Pertama Kuala Lumpur sudah siap sepenuhnya.

Berikutan itu, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat ke premis pengguna dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi esok.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” kata Air Selangor dalam kenyataan hari ini.

Menurut Air Selangor, bantuan alternatif menerusi lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan keutamaan diberikan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa di semua medium khususnya media massa,” katanya.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan Air Selangor di talian 15300.


Pengarang :